Wednesday, July 8, 2009


Tevez tuduh Ferguson penipu


CARLOS Tevez menyelar Alex Ferguson sebagai seorang "penipu" dan bersumpah mahu membalas dendam terhadap pengurus Manchester United itu pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Tevez dijangka akan mengikat kontrak dengan pasukan jiran setempat United, Manchester City selepas menolak peluang untuk kekal meneruskan aksi di Old Trafford.

Dan pencetak gol Argentina itu menyalahkan "penipuan" Fergie mengenai statusnya dalam skuad pasukan juara itu selepas pembelian Dimitar Berbatov bernilai STG30 juta (RM172 juta) tahun lalu yang menguatkan hasratnya untuk meninggalkan United.

Kini Tevez, yang berjaya menambat hati peminat United, berjanji untuk membuatkan Ferguson menggigit jari disebabkan penghinaannya.

Tevez, yang menolak peluang untuk kekal di United sekalipun kelab itu mampu membayar harga yang dimintanya iaitu STG25.5 juta (RM146.5 juta), berkata: "Ferguson masih percaya saya akan berada di United musim depan. Beliau fikir saya akan kembali.

"Tapi saya tahu apa yang saya mahukan dan saya sedar Ferguson tidak menghormati saya sebagai seorang pemain. Sebelum Berbatov tiba di Manchester, Ferguson memberitahu saya, 'Anda akan masih menjadi penyerang dalam kesebelasan utama, jadi anda perlu bertenang'. Tapi beliau menipu saya! Itulah sebabnya saya tidak akan kembali ke United.

"Apa yang saya mahu lakukan musim depan adalah menjaringkan gol menentang United. Saya berjanji saya tidak akan meraikan jaringan di depan penyokong United tapi saya akan menjerit di depan muka Ferguson.

"Anda pasti melihatnya - dan ia akan menjadi satu daripada perkara paling menarik saya lakukan dalam bola sepak."

Tevez sebenarnya masih terkilan apabila pengurus United itu enggan menurunkannya pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah menentang Barcelona di Rome Mei lalu walaupun dia berada dalam senarai pemain simpanan.

"Anda tidak boleh berdebat dengan Ferguson," katanya. "Beliau bagaikan presiden England. Tidak mungkin, anda akan sering kalah.

"Tapi beliau membuat kesilapan kerana membiarkan saya berada di bangku pemain simpanan. Itulah satu-satunya perlawanan akhir yang saya kalah sejak saya berada di Manchester United."

Tevez berkata keluarganya turut mengetahui masalahnya 'dibeku' di Old Trafford.

"Keluarga saya tahu bagaimana saya terlalu menderita di United. Saya tidak boleh sampai ke rumah selepas satu-satu perlawanan atau sesi latihan dan melupai kesakitan yang saya rasai. Ia tidak bagus dan saya luahkan segala keperitan saya kepada mereka (keluarganya)."

0 comments:

Post a Comment