Wednesday, August 5, 2009

Mayat bayi ditemui tinggal kepala, tangan


KUANTAN - Mayat seorang bayi ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila terdampar di kawasan berlumpur di tepi sungai berhampiran sebuah kilang memproses hasil laut di Peramu dekat sini, semalam.

Paling menyedihkan apabila bayi yang dipercayai baru dilahirkan beberapa hari lalu, hanya tinggal kepala dan sebelah tangan manakala selebihnya dibaham biawak.

Ketua Kampung Peramu, Baharuddin Sulong berkata, mayat bayi malang yang dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab itu ditemui sekumpulan pekerja kilang terbabit kira-kira jam 11.35 pagi.

Menurutnya, mayat itu disedari selepas mereka ternampak seekor biawak menyelongkar bungkusan plastik hitam yang pada mulanya disangka berisi bangkai ayam.

“Bagaimanapun selepas mengamati ‘bangkai ayam’ yang sedang dimakan biawak itu, baru mereka sedar ia sebenarnya mayat seorang bayi.

“Ketika ditemui tubuh mayat bayi berkenaan hampir habis dimakan binatang itu. Cuma tinggal kepala dan sebelah tangan,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat itu.

Beliau berkata, pekerja terbabit mendakwa ternampak plastik hitam itu sejak petang kelmarin ketika berehat di tepi sungai itu.

“Bagaimanapun mereka tidak endahkan kerana menyangka ia berisi perut ayam atau bangkai haiwan yang dibuang penduduk berhampiran.

:“Pagi ini mereka terkejut kerana sangkaan mereka itu meleset apabila bangkai haiwan yang disangka sebelum ini sebenarnya mayat seorang bayi,” katanya.

Berikutan penemuan itu, katanya, pekerja terbabit memaklumkan kepada seorang pengurus wanita sebelum dimaklumkan kepadanya.

“Saya segera ke lokasi penemuan itu dan mendapati ia adalah mayat seorang bayi lalu segera dimaklumkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Pemangku Superintendan Zulkifli Taha ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi itu.

Beliau berkata, mayat bayi yang tidak sempurna sifatnya itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Bagaimanapun sehingga petang ini (semalam), belum ada laporan dikeluarkan berhubung identiti bayi terbabit,” katanya.

0 comments:

Post a Comment